Oleh : Helena Pieary Juman
BINTULU, 2 November - Bertekad untuk memberi kesenangan kepada anak-anak, isteri dan keluarga, bapa kepada tiga orang anak jadikan ini sebagai pemangkin untuk terus melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.
Perjuangan dan pengorbanan seorang bapa demi memberikan kesenangan kepada keluarganya merupakan epik yang penuh dengan curahan cinta serta dedikasi.
Mohamad Syukri Mohamad Adnan, 38, graduan Master Sains Pembangunan Manusia di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), bertugas sebagai Ketua Pentadbir di Pejabat Pengurusan Pelajar, bercita-cita menjadi pensyarah untuk berbakti kepada masyarakat.
“Bagi saya sendiri, wajah anak dan isteri serta ahli keluargalah yang menjadi pencetus semangat saya untuk bangkit dan meneruskan untuk melanjutkan pengajian ke tahap yang lebih tinggi,”
Walau bagaimanapun, beliau juga tidak lari daripada menghadapi cabaran dalam meneruskan perjuangannya untuk meneruskan cita-citanya.
“Memang tidak mudah untuk membahagikan masa, sebagai ketua rumah tangga dalam masa yang sama fokus kepada cita-cita, serta pendidikan, namun untuk mencapai kejayaan perlu ada pengorbanan,”
“Disiplin dalam menguruskan masa cukup penting, serta bersikap profesional dengan tidak mencampur adukkan waktu bekerja dan waktu bersama dengan keluarga merupakan kunci kejayaan saya selama ini,”
“Musuh utama sudah pasti masa dan tenaga. Kadang-kadang kudrat dan emosi tidak stabil boleh mengganggu momentum dalam segala aspek, namun sokongan daripada ahli keluarga menjadi kekuatan saya hingga hari ini,” katanya
Jelasnya lagi, beliau tidak pernah menyesal meskipun tanggungjawab yang digalasnya terkadang terasa berat kerana yang dilakukannya adalah demi masa hadapan.
“InsyaAllah segala impian boleh jadi kenyataan dengan adanya niat yang tulus ini. Apa yang penting, fokus dan pegang dengan erat matlamat yang ingin dicapai.
“Tiada apa yang mustahil jika kita bulat hati untuk mencapai apa yang kita hajatkan kerana bukan senang nak senang dan bukan susah nak susah,” katanya
Mohamad Syukri juga merupakan penerima Biasiswa Kursi Tok Nan berkata, melalui penajaan ini telah memberi beliau peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
“Saya berterima kasih dengan inisiatif penubuhan Kursi Tok Nan antara UPMKB dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak kerana secara langsung membantu dana pengajian anak Sarawak,” katanya.
Date of Input: 02/11/2024 | Updated: 03/11/2024 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA