Amal Cara Pemakanan Sihat Di Bulan Ramadan | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Amal cara pemakanan sihat di bulan Ramadan

Amal cara pemakanan sihat di bulan Ramadan

Article Summary
Kepada mereka yang mahu memperkasakan kesihatan diri, bulan Ramadan adalah bulan yang ideal untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan memperbaiki tabiat pemakanan terutamanya memulakan pemakanan yang cukup zatnya dan pada masa yang sama ia juga seperti melatih badan kita untuk meneruskan pemakanan sihat ini pada bulan-bulan yang lain.


Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

 

 

Kepada mereka yang mahu memperkasakan kesihatan diri, bulan Ramadan adalah bulan yang ideal untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan memperbaiki tabiat pemakanan terutamanya memulakan pemakanan yang cukup zatnya dan pada masa yang sama ia juga seperti melatih badan kita untuk meneruskan pemakanan sihat ini pada bulan-bulan yang lain.

 

Selain itu, antara tips adalah pemakanan yang cukup zat-zat makanan sama ada makronutrien (karbohidrat, protein dan lemak) dan mikronutrien (vitamin dan mineral) serta waktu makan yang teratur dan bersederhana di dalam porsi makanan. 

 

Pegawai Dietetik, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), A’ishah Zafirah Abdul A’zim berkata ini adalah penting bagi memastikan badan individu mempunyai cukup zat makanan dan air semasa berpuasa.

 

“Selain daripada memenuhi keperluan zat makanan dan air kita akan lebih berdisiplin menjaga waktu makan; konsisten setiap hari makan pada masa yang lebih kurang sama iaitu sahur dan iftar yang membantu menyeimbangkan proses fisiologi dan metabolisma badan,” katanya.

 

Tambah beliau, porsi makanan semasa sahur dan berbuka juga turut memainkan peranan untuk mengawal berat badan serta untuk mendapatkan zat dan tenaga yang mencukupi untuk menjalankan rutin harian serta ibadah pada waktu malam.

 

“Pengambilan air kosong juga perlu optimum supaya tidak dehidrasi semasa berpuasa yang kerana kebaikan air kosong adalah untuk membantu dalam proses serta fungsi badan manusia,” katanya.

 

Beliau turut memberi penekanan kepada mereka yang obesiti atau mengidap diabetes jenis 2 yang kurang berisiko dibenarkan berpuasa setelah mendapat nasihat daripada doktor dan pegawai dietetik.

 

“Pada bulan puasa mereka boleh mengambil peluang ini untuk memperbaiki pemakanan mereka setelah menilai status pemakanan oleh pakar sama ada untuk menurunkan berat badan atau mengawal paras gula dalam darah semasa berpuasa,” katanya.

 

A’ishah Zafirah turut mengulas mengenai sikap rakyat Malaysia dengan makanan umpama ‘berpisah tiada’ serta mengamalkan pemakanan pada waktu yang tidak ideal dan penting untuk masyarakat cakna dengan pemakanan.

 

“Waktu makan yang tidak konsisten dan sentiasa berubah mengikut persekitaran akan menganggu proses fisiologi dan metabolisma badan. Tidak menjadi suatu kemestian pada bulan puasa untuk makan lewat malam atau moreh kerana akan menambahkan kalori yang diambil.

 

Ini adalah kerana pada waktu malam kurang pembakaran tenaga kerana tiada tambahan senaman dan kita akan terus tidur selepas itu. Keadaan ini boleh menyebabkan risiko peningkatan berat badan,” katanya.

 

Beliau juga menekankan pentingnya untuk bersahur, jika tidak ia akan meningkatkan risiko cepat rasa lapar semasa berpuasa serta keinginan untuk makan berlebihan semasa iftar.

 

“Ini akan menyebabkan kita mengambil kalori yang lebih tinggi dan perut yang terlampau kenyang boleh menyebabkan kita tidak selesa untuk menjalankan ibadah solat tarawih selain daripada peningkatan berat badan.

 

Sementara itu, waktu ideal yang telah ditetapkan semasa bulan Ramadhan iaitu sahur pada waktu antara pukul 4.00 pagi hingga 6.00 pagi dan iftar selepas waktu Maghrib sehingga sebelum Isyak adalah yang paling ideal untuk tubuh badan menyeimbangkan proses serta fungsi fisiologinya dan dapat mengawal porsi makanan yang diambil untuk mengawal berat badan semasa berpuasa.

 

Dalam pada itu, beliau turut kongsikan tips pemakanan yang bersesuaian semasa berpuasa untuk masyarakat iaitu penting bagi mengetahui keperluan tenaga badan mengikut Recommended Nutrient Intake (RNI) Malaysia, 2017 iaitu keperluan tenaga bagi lelaki dewasa (18 tahun ke atas): 1780-1960 kcal/sehari. Manakala keperluan tenaga untuk perempuan dewasa (18 tahun ke atas): 1550-1610 kcal/sehari.

 

“Apa yang penting adalah untuk makan dengan sederhana dan tidak berlebihan supaya kita masih boleh mengambil makanan-makanan yang lain yang mempunyai kalori dan zat-zat yang diperlukan,” katanya.

Date of Input: 27/03/2024 | Updated: 27/03/2024 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
T.2024/12/1:9:28:37~noCache