Bubur Lambuk Masjid UPM,  Tiada Pewaris Tradisi | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Bubur Lambuk Masjid UPM,  Tiada Pewaris Tradisi

Bubur Lambuk Masjid UPM,  Tiada Pewaris Tradisi

Article Summary
“Penyediaan bubur lambuk ini bukan sekadar memasak, tetapi satu tradisi turun-temurun yang menyatukan masyarakat. Saya berharap ada yang sudi mewarisi resipi kami kerana ramai yang menyukai rasa bubur ini


Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Noor Azreen Awang

 

 

 

Bubur lambuk sememangnya sinonim dengan bulan Ramadan, bukan sekadar juadah berbuka puasa tetapi juga sebagai simbol perpaduan dalam kalangan masyarakat Islam.

Di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM), tradisi penyediaan bubur lambuk telah berlangsung sejak tahun 2008, mengukuhkan lagi semangat gotong-royong dan kebersamaan antara ahli kariah serta warga kampus.





Ketua Pasukan Memasak Bubur Lambuk Masjid UPM, Aishah Azizi, 73, juga merupakan pesara Penyelia Operator UPM berkata beliau telah terlibat dalam penyediaan bubur lambuk sejak tahun 2008 lagi.

“Kami mula bergotong-royong seawal jam 8 pagi untuk menyediakan bahan, memasak bubur lambuk. Menjelang Asar, sebanyak 1,000 bekas bubur ini akan diedarkan kepada masyarakat sekitar.

“Meskipun penat, kami rasa puas melihat orang ramai menikmatinya mengatasi segala kepayahan,” katanya.

Menurutnya, dahulu orang ramai sanggup beratur panjang untuk mendapatkan bubur lambuk, tetapi kini, kaedah edaran secara pandu lalu telah diperkenalkan bagi memudahkan urusan agihan pada setiap hari Selasa dan Khamis.



 

Melatih Generasi Pelapis untuk Memelihara Tradisi


Beliau juga berharap agar generasi muda dapat meneruskan warisan penyediaan bubur lambuk ini.

 

 

“Penyediaan bubur lambuk ini bukan sekadar memasak, tetapi satu tradisi turun-temurun yang menyatukan masyarakat. Saya berharap ada yang sudi mewarisi resipi kami kerana ramai yang menyukai rasa bubur ini, ” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Pusat Islam UPMZuhaimi Abdul Rahim, menegaskan bahawa tradisi ini perlu dikekalkan kerana menyediakan makanan di bulan Ramadan adalah satu amal jariah yang besar pahalanya.

“Pusat Islam UPM menggalakkan kerjasama dengan pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) untuk bergilir-gilir menyediakan bubur lambuk pada setiap hari Selasa dan Khamis. Selain itu, kami juga sedang melatih pelapis muda supaya mereka dapat meneruskan tradisi ini di masa hadapan.

 

 

“Resipi ini bukan sekadar boleh ditulis dalam buku, tetapi perlu dipelajari secara praktikal daripada ketua tukang masak. Jika generasi muda tidak dilatih dari sekarang, kita bimbang satu hari nanti tiada siapa yang akan meneruskan tradisi ini,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat agar merebut peluang untuk beramal sepanjang Ramadan dengan membantu penyediaan makanan.

“Bubur lambuk bukan sekadar makanan, tetapi satu warisan budaya yang mengikat komuniti dengan nilai kebersamaan dan amal kebajikan. Jika kita dapat menggembirakan seseorang dengan juadah berbuka, itu adalah satu kebahagiaan yang tidak ternilai,” ujarnya.

 

Date of Input: 07/03/2025 | Updated: 07/03/2025 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
T.2025/3/9:10:33:58~noCache