KEPELBAGAIAN KEMUDAHAN OKU TINGKAT KEPEDULIAN WARGA KAMPUS | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » KEPELBAGAIAN KEMUDAHAN OKU TINGKAT KEPEDULIAN WARGA KAMPUS

KEPELBAGAIAN KEMUDAHAN OKU TINGKAT KEPEDULIAN WARGA KAMPUS

Article Summary
Kebanyakkan universiti kini semakin cakna dan sedar akan keperluan menyediakan kemudahan yang terbaik buat pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dalam memberi hak pendidikan tanpa halangan kepada golongan ini.


Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari 
 
Kebanyakkan universiti kini semakin cakna dan sedar akan keperluan menyediakan kemudahan yang terbaik buat pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dalam memberi hak pendidikan tanpa halangan kepada golongan ini.
 
Penyediaan kemudahan OKU memberikan kesan positif terhadap perkembangan pendidikan dan inklusiviti golongan ini bagi memastikan universiti menyokong aspirasi pendidikan adalah hak asasi manusia.
 
Perkara ini melibatkan penyesuaian dalam infrastruktur, pengangkutan, serta kemudahan lain yang dapat memastikan akses dan keselesaan dalam proses pembelajaran.
 
Dalam membuka pintu peluang yang lebih luas, Universiti Putra Malaysia (UPM) saban tahun sentiasa berusaha untuk menambah baik kemudahan OKU yang lebih mesra buat pelajar mahupun pensyarah daripada golongan ini.
 
 
Menurut pelajar tahun akhir Bacelor Sains Seni Bina Dengan Kepujian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB) UPM, Ikmal Mustafa Musbah, 24, berkata UPM sentiasa menambah baik kemudahan pelajar OKU demi memenuhi keperluan mereka.
 
“Saya amat menghargai dan berterima kasih kepada Unit Perkhidmatan & Sokongan OKU dan universiti ini atas komitmen serta langkah proaktif dalam melaksanakan pelbagai naik taraf kemudahan-kemudahan untuk pelajar-pelajar OKU khasnya.
 
“Sebagai seorang yang lahir sebagai OKU fizikal dan perlu berkerusi roda, saya sudah boleh mengadaptasi dengan situasi kurang atau tiada fasiliti OKU. Namun, fasiliti OKU UPM membolehkan saya lebih bebas bergerak.
 
“Kini saya sudah berada di tahun akhir pengajian dan saya lihat banyak perubahan telah dilakukan termasuklah akses pintu gelangsar automatik di lobi Kolej 10 yang membantu saya untuk mengusung kerusi roda ke kolej dengan mudah berbanding pintu sebelum ini,” katanya.
 
Beliau amat berharap agar UPM sentiasa komited dalam usaha memberikan yang terbaik buat pelajar OKU agar lebih ramai golongan sepertinya dapat melanjutkan pengajian.
 
Katanya, akses untuk ke kelas juga menjadi lebih mudah apabila UPM menyediakan van mobiliti OKU yang mengambil dan menghantarnya untuk menghadiri kuliah setiap hari di samping fakultinya kini memiliki tandas khas buat OKU.
F
 
Senada dengannya, pelajar semester pertama, Bacelor Sastera Kesusasteraan Melayu dengan kepujian, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) UPM, Nurin Amalin Ishak, 20, berkata tandas khas untuk individu cacat penglihatan seperti beliau amat memberi keselesaan.
 
Jelasnya, terdapat juga kawasan di FBMK yang memiliki lantai 'tactile' bagi membantu OKU penglihatan berjalan dengan selamat ke kelas.
 
Bagaimanapun, beliau berkata perlu penambahbaikkan dan penyediaan dewan kuliah yang mempunyai alatan bantuan sokongan bagi pelajar OKU penglihatan seperti braille dan kanta elektronik.
 
“Pada awal kelas, saya memang akan maklumkan pada pensyarah bahawa saya OKU penglihatan. Buat masa ini saya akan menggunakan kanta elektronik di dalam telefon untuk melihat tayangan slaid dengan lebih jelas.
 
“Saya juga diberikan masa lebih sekurang-kurangnya 30 minit untuk menjawab peperiksaan dan menggunakan komputer riba berbeza dengan pelajar normal,” katanya yang juga merupakan atlet Paralimpik goalball Malaysia.
 
Sementara itu, Dr. Mastura Mahamed yang menghidap palsi serebrum meluahkan rasa syukur kerana pihak UPM begitu prihatin terhadap keperluannya sebagai seorang pensyarah OKU.
 
“Dari segi infrastruktur ada penambahbaikan dari tahun ke tahun. Contohnya, tanjakan dan rel pemegang dibina di FBMK termasuklah pembinaan tandas OKU. Saya lihat kini UPM sedang giat menjalankan penambahbaikan mengikut fasa.
 
“Pada hemat saya masih banyak lagi penambahbaikan yang perlu dilakukan dari segi infrastruktur seperti surau. Kebanyakkan pintu surau tidak mesra OKU untuk yang menggunakan kerusi roda seperti kelebaran pintu, tombol dan tempat mengambil wudhuk,” katanya.
 
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan penambahan kemudahan khusus di bilik kuliah yang mesra OKU bagi mereka yang mempunyai masalah deria selain kedudukan suis elektrik dan tombol pintu mengikut spesifikasi OKU.
 
Luahnya lagi, rata-rata pelajar menunjukkan kesedaran UPM sebagai kampus inklusif OKU dan menonjolkan rasa terbuka untuk membantu beliau sama ada di dalam kelas mahupun di luar.
 
Penyediaan kemudahan OKU di menara gading secara tidak langsung membantu golongan ini meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka untuk mencapai kejayaan dalam dunia pekerjaan. -UPM

Date of Input: 26/12/2023 | Updated: 26/12/2023 | ezzatyazhari

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
T.2024/12/1:9:22:36~noCache