Pengorbanan Polis Bantuan Tidak Didendang | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Pengorbanan polis bantuan tidak didendang

Pengorbanan polis bantuan tidak didendang

Article Summary
Bekerja sebagai pengawal keselamatan di Universiti Putra Malaysia (UPM) bukanlah pilihan utama bagi sesetengah orang lagi-lagi menjelang Ramadan ini. Demi memikirkan kelangsungan hidup, kerjaya ini menjadi pilihan utama meskipun segelintir individu memandang rendah kononnya ia pekerjaan terhina.


Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Mozaid Idris
 
 
Bekerja sebagai pengawal keselamatan di Universiti Putra Malaysia (UPM) bukanlah pilihan utama bagi sesetengah orang lagi-lagi menjelang Ramadan ini. Demi memikirkan kelangsungan hidup, kerjaya ini menjadi pilihan utama meskipun segelintir individu memandang rendah kononnya ia pekerjaan terhina.
 
Namun, tidak bagi Pengawal Keselamatan (KP14), Abd Rani Abd Majid yang telah berkhidmat selama 17 tahun sebagai polis bantuan di UPM. Sebelum ini, beliau telah berkhidmat sebagai pengawal keselamatan.
 
“Kerana saya sangat mencintai tugas saya sebelum ini sebagai tentera sehingga pencen, membuatkan saya memilih untuk meneruskan pekerjaan dalam bidang yang sama sehingga hujung nyawa demi menjaga keselamatan semua orang di UPM.
 
"Tugas yang digalas ini memerlukan mental yang sangat kuat kerana kita bukan sekadar menjaga kawasan, tetapi menjaga harta benda milik majikan dan mencegah jenayah dalam kawasan yang dipertanggungjawabkan,,” katanya.
 
Beliau berkata, oleh sebab itu seseorang yang berkhidmat dalam bidang keselamatan memerlukan disiplin yang tinggi kerana cabarannya yang sangat mencabar dalam tugasan ini.
 
“Tetapi, anak muda sekarang tidak mahu pekerjaan yang memerlukan disiplin dan pengorbanan yang besar dalam kehidupan. Macam saya, setiap tahun terpaksa berkorban untuk tidak pulang beraya demi tanggungjawab menjaga keselamatan UPM. Waktu berbuka puasa pula, hanya menjamah kurma dan seteguk air demi tanggungjawab kerja ini.
 
"Apabila menyarung uniform polis bantuan, ia membuatkan saya berasa bangga tetapi dalam masa yang sama tanggungjawab telah bermula dan perlu dilakukan mengikut amanah yang dipertanggungjawabkan, dan paling penting ikhlas kerana Allah," katanya.
 
Bagi Pengawal Keselamatan (KP11), Nor Hayati Mat Yazid, beliau sangat meminati aktiviti lasak membuatkannya memilih untuk berkhidmat dalam badan beruniform sebelum menjadi polis bantuan di UPM.
 
"Pada awalnya saya berkhidmat sebagai pengawal keselamatan, kemudian sebagai polis sukarelawan dan kini berkhidmat sebagai polis bantuan di UPM.
 
"Pekerjaan ini sangat mencabar untuk wanita yang juga seorang ibu kepada dua orang anak. Namun semangat untuk menjaga keselamatan warga UPM, ia adalah pilihan yang perlu dibuat walaupun banyak pengorbanan perlu dilakukan.
 
“Lagi-lagi bulan Ramadan ini, saya tidak dapat sepenuhnya bersama-sama keluarga untuk berbuka atau bersahur bersama-sama sepanjang 30 hari bulan Ramadan ini,” katanya.
 
Beliau berkata sebagai wanita kepenatan dirasai dihiraukan, kesedihan dan keperitan juga. Wanita tetap utuh berdiri menjalankan tugasnya dalam memastikan kelengkapan keluarga terjaga dan cahaya mata dapat membesar dengan sempurna.
 
Sementara itu, Pengawal Keselamatan (KP14), Rajamurugan A/L Muniandy berkongsi, pada awal berkhidmat di UPM, beliau tidak memilih pekerjaan ini kerana perlu bertugas syif dan merasakan tugasan polis bantuan ini sangat berat dan mencabar.
 
"Tugas ini sangat mencabar walaupun di dalam kampus UPM bukan hanya perlu bekerja dalam syif tetapi nak berhadapan dengan orang dengan tidak menghargai malah dipandang rendah.
 
"Saya terima cabaran dalam kerjaya sekarang, kerana tidak semua orang mampu untuk lakukan tanggungjawab ini walaupun ianya nampak mudah. Ramai yang tidak puas hati dan tidak menyukai polis bantuan kerana menguatkuasakan undang-undang, keamanan kampus perlu dijaga atas tanggungjawab kami,” katanya.
 
Ketiga-tiga insan ini mempunyai kisah tersendiri semasa berkhidmat sebagai polis bantuan. Namun beliau berpesan kepada golongan muda agar tidak memilih bidang kerja yang mudah dan tidak mengalah walau apapun kerja yang dipilih.
 
Belajarlah untuk menghargai pengorbanan anggota polis bantuan dan keluarga mereka tatkala kita bersenang-lenang menikmati pelbagai kemudahan dan kemewahan di UPM. Kerana mereka bertugas di bawah matahari terik dan hujan demi memastikan kemudahan dan kemewahan semua.
 
“Mereka adalah wira yang tidak didendang”.

Date of Input: 21/06/2023 | Updated: 21/06/2023 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
T.2024/12/1:12:36:59~noCache