SERDANG, 16 Januari - Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Institusi Penyelidikan Produk Halal (IPPH), UPM telah mengadakan program Pembangunan Keusahawanan Halal bagi meningkatkan kesedaran memupuk kesedaran tentang perniagaan produk halal kepada usahawan.
Program dengan kerjasama Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infaq (WAZAN), dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) juga membantu usahawan kecil dalam meningkatkan taraf hidup serta melahirkan lebih ramai usahawan muslim yang berjaya.
Naib Canselor UPM, Dato' Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, program ini penting dalam memperkasakan pemahaman mengenai kepentingan produk halal, serta membuka peluang terutamanya kepada golongan asnaf, ibu tunggal dan pelajar asnaf UPM untuk mengembangkan perniagaan masing-masing dalam mendepani keadaan ekonomi semasa.
“Saya berharap agar penganjuran program ini akan melahirkan usahawan kompeten yang dapat memenuhi aspirasi negara dalam menghasilkan lebih ramai usahawan muslim yang berjaya,” katanya.
Pengarah Institusi Penyelidikan Produk Halal, UPM, Prof. Dr. Awis Qurni Sazili berkata program ini adalah usaha untuk memupuk pentingnya kesedaran halal dalam bidang keusahawanan dalam mendepani keperluan bidang perniagaan masa kini.
“ Pembangunan kesedaran halal penting bukan sahaja dapat mematuhi piawaian halal tetapi juga mewujudkan nilai tambah yang dapat menarik perhatian pengguna,” katanya.
Dalam pada itu, kerjasama ini selaras dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu Melestarikan Ekosistem Jaringan Industri Dan Masyarakat.
Date of Input: 17/01/2025 | Updated: 17/01/2025 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA